Friday, 22 February 2013

Terowong Genting Sempah

Mungkin ramai di antara pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak yang sering melalui terowong ini tanpa mengetahui kisah sejarahnya. Marilah kita imbau kembali kenangan kira-kira 35 tahun yang lalu mengenai terowong yang pernah mencatat sejarah sebagai sebuah terowong lebuh raya pertama di Malaysia.

Pembukaan terowong dan sebahagian lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak ini kepada lalu lintas telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam pada 07.01.1978.




Terowong jalan raya yang pertama di Malaysia ini terletak di genting Sempah, panjangnya kira-kira 3 000 kaki, ditebuk di tengah-tengah bukit dan hutan yang melintasi sempada negeri Selangor dan negeri Pahang berdekatan dengan persimpangan jalan lama ke Genting Highlands. Tingginya ialah kira-kira 2 000 kaki dari paras laut.

Tinggi terowong ialah 26 kaki dan lebarnya 32 kaki. Di sepanjang terowong diterangi oleh lampu-lampu berwarna merah muda dan sekiranya bekalan elektrik terputus, stanby generator akan bertugas secara otomatik.


YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam sedang melihat sendiri Bilik Gerakan pemantauan terowong.


Para pengguna terowong ini tidak akan menghirup udara yang beracun seperti gas carbon monoxide atau gas-gas kotor yang lain kerana satu sistem di mana udara bersih dimasukkan ke dalam dan udara kotor dikeluarkan ada disediakan.




Selain dari itu, sistem mencegah dan memadam kebakaran juga dilengkapkan. Perkhidmatan telefon dan lain-lain kemudahan juga disediakan. Tanda-tanda isyarat lalu lintas dan kawalan yang cukup di dalam terowong disediakan dan sebagai tambahan sebuah sistem kawalan melalui televisyen (CCTV) telah dipasang dengan menggunakan dua buah kemera.

Telefon darurat untuk menghubungi pengawal-pengawal terowong juga turut disediakan. Kakitangan JKR bertugas secara 24 jam di bangunan terowong itu dan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau kebakaran, pengguna-pengguna terowong adalah diminta menghubungi mereka dengan menggunakan telefon-telefon yang disediakan di sepanjang terowong itu.




Dengan terbukanya terowong lebuh raya ini yang serba indah dan lengkap di Batu 23 jalan Kuala Lumpur - Bentong dan sebahagian jalan baharu, maka pengguna-pengguna jalan raya dari Batu 11 (Mimaland) hingga ke Batu 28, akan mengalami dan merasai satu perubahan yang sungguh selesa dan menyenangkan.

Mereka tidak lagi mengikuti jalan yang berbengkang-bengkok, tidak lagi menemui selekoh-selekoh yang merbahaya, pendeknya tidak lagi melalui jalan yang berliku atau berkelok-kelok.

Jalan raya dari Batu 11 dan Batu 28 dengan terowong yang terpanjang terletak di Batu 23, Genting Sempah, merupakan sebahagian dari rancangan kerajaan meningkatkan keadaan jalan raya di antara Kuala Lumpur dengan Karak.



Sebahagian daripada lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak yang telah dibuka kepada pengguna jalan raya.


Projek lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini bermula di Batu 3, Jalan Pahang Kuala Lumpur hinggalah ke batu 54 di pekan Karak. Sungguhpun jarak lebuh raya baharu ini hanya dapat dikurangkan sejauh tujuh batu sahaja, namun perjalanan di lebuh raya baharu ini akan dapat dikurangkan sebanyak 45 minit dan dalam keadaan yang lebih selamat dan lebih selesa.

Pembukaan jalan dari Batu 11 hingga ke Batu 28 yang termasuk di dalam rancangan Seksyen 1, 2 dan 3 kini telah memendekkan jarak perjalanan kira-kira41/2 batu dan masa perjalanan dapat dikurangkan kira-kira 25 minit.

Bagaimanapun, kerana jalan raya itu ditebuk dan dibina di tengah-tengah bukit dan hutan belantara tebal, maka tentulah terdapat juga sedikit selekoh yang tajam dan pendakian bukit yang curam. Namun demikian jumlah selekoh dan pendakian yang begini telah dapat diminimumkan.

Tanda-tanda jalan, jalur pemisahan, kerlipan batu-batu isyarat di malam hari dan lain-lain tanda disediakan dengan secukupnya untuk memberi amaran kepada pemandu-pemandu. Lorong tambahan ada disediakan ketika mendaki bukit-bukit yang tinggi.



Pintu masuk terowong dari Negeri Pahang ke Kuala Lumpur. Kelihatan juga sebuah bas berwarna putih itu yang jika di zoom, jelas tertulis perkataan "Mara Ekspress".


Dengan keadaan ini maka para pengguna akan dapat memandu dengan lebih selesa, lebih cepat dan lebih selamat pada kelajuan 40 hingga 50 batu sejam.

Pemandu-pemandu kenderaan berat adalah dinasihatkan supaya mematuhi isyarat-isyarat lorong mendaki dan terus menggunakan lorong mendaki tambahan dengan seberapa segera dan pengguna-pengguna jalan yang lain haruslah berjaga-jaga sewaktu melalui tanda-tanda ini kerana kemungkinan pemandu-pemandu kenderaan berat akan mengambil semula lorong biasa mereka apabila saja mereka selesai menggunakan lorong tambahan tadi.

Oleh itu, memotong pada tempat-tempat ini adalah tidak digalakkan dan merbahaya.

Tegasnya, lebuh raya ini telah dibina dengan mutu kejuruteraan dan keselamatan yang paling tinggi dan sebarang cubaan untuk mencemar mutu ini adalah salah dari segi moral dan salah di sisi undang-undang.




Jumlah perbelanjaan keseluruhan projek ini adalah dianggarkan sebanyak $160 juta. Ini tremasuklah kos pembinaan, pengambilan balik tanah dan sebagainya. Fasa pertama projek ini mengandungi Seksyen 1, 2 dan 3. Seksyen 1 bermula di Batu 11 berhampiran dengan Mimaland dan berakhir di Batu 21.

Seksyen 2 bermula di Batu 21 hingga ke Batu 22. Seksyen 3 dari Batu 22 membawa ke Batu 28. Jalan dari Batu 22 ke Batu 28 telah dibuka pada 1 Julai 1977dengan satu jalan sementara dekat Batu 28. Jalan sementara ini akan diputuskan apabila kerja-kerja Seksyen 4, 5 dan 6, peringkat kedua disiapkan.

Tiga syarikat pemaju telah terlibat dalam pembinaan projek ini. Pemborong Seksyen 1 dan 3 ialah Syarikat Italian-Thai Development Corporation. Pemborong Seksyen 2 termasuk pembinaan terowong ialah Korea Development Corporation.

Pemborong Seksyen 4, 5, 6 dan 7 yang termasuk dalam peringkat kedua ialah Syarikat Sato Kogyo Co. Limited dari Jepun. Kerja-kerja sekyen yang lain dalam Projek Lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini dari Batu 28 hingga ke Batu 43 dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan tahun 1978.

No comments:

Post a Comment